Tuesday, July 12, 2011

SRE#9 + INFO + Maksud Perkahwinan



sumber -google image.

Pengenalan 

Mengikut adat resam bangsa Melayu, majlis perkahwinan diambil berat sepenuhnya. Kepada bangsa Melayu, majlis perkahwinan adalah peristiwa yang amat penting dan istimewa bukan sahaja kepada pasangan pengantin tetapi kepada ibu bapa dan ahli-ahli keluarga serta sahabat handai yang rapat.

Adat yang berkaitan dengan perkahwinan termasuk aspek-aspek merisik, meminang, bertunang, penghantaran belanja, majlis bersanding seharusnya yang paling hebat peristiwanya. Mengikut adat silam dari segi persediaan untuk perkahwinan terdapat adat-adat berkaitan dengan berandam, berasah gigi dan berinai. Kemuncak dalam adat resam perkahwinan keseluruhannya adalah majlis bersanding.

Di masa silam, bersanding adalah satu aspek perjalanan hidup yang dijalankan oleh ibu bapa. Merekalah yang memilih teman hidup bagi anak masing-masing. Biasanya apabila ibu bapa merasai anak lelaki sudah sampai masa untuk berkahwin, mereka mula merisik untuk memilih gadis yang sesuai. Pada umumnya, ibu bapa meminta saudara-mara mengesan dan mencari gadis sesuai dikahwinkan dengan anak lelaki mereka.

Perkahwinan dari Perspektif Islam Secara Ringkas

Sesungguhnya, agama Islam menggalakkan setiap insan yang sempurna dan berkemampuan untuk mendirikan rumahtangga demi menjaga keharmonian masyarakat. Perkahwinan dapat memelihara seseorang daripada zina. Perkahwinan juga dapat menambah umat dan memelihara nasab keturunan. Ia telah menjadi sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Islam telah menggariskan sekitar empat ciri utama pemilihan bakal isteri dan suami. Pertama carilah yang cantik rupa parasnya. Kedua, carilah yang mempunyai harta. Ketiga carilah yang baik keturunannya dan keempat, carilah yang beriman. Di antara keempat-empat ciri ini, yang beriman perlu diutamakan.

Kebiasaannya, setiap lelaki dan perempuan akan tertarik kepada rupa paras sebelum memikirkan hal-hal lain. Inilah lumrah semula jadi manusia. Bagi pihak orang tua pula, mereka kerap kali memikirkan tentang asal usul dan kewangan bakal menantu. Jarang sekali soal iman dititikberatkan.

Sesungguhnya anjuran Islam ada fadhilatnya. Rupa paras dan harta benda tidak kekal lama. Tetapi iman yang dipupuk dalam hati nurani mampu bertahan walaupun jasad telah dimamah usia. Orang yang beriman lebih tulus hatinya, lebih kuat sabarnya dan lebih mulia tingkah lakunya.

Secara umumnya, sebelum pasangan teruna dara bernikah, segalanya dipandang manis. Kelakuan yang tidak baik biasanya dipendam sedalam-dalamnya. Si teruna tidak mengetahui keburukan si dara dan sebaliknya. Semuanya nampak cantik kerana adanya orang ketiga yang sentiasa di samping iaitu syaitan. Tetapi setelah bernikah, apabila syaitan menjauhkan diri, mereka mula nampak peri laku sebenar masing-masing. Maka pada ketika ini, bermacam-macam masalah mula timbul. Itu tak kena, ini tak kena. Akhirnya mahligai bahagia menjadi neraka. Namun begitu, bagi orang yang beriman, segala kerenah dihadapi dengan sabar. Di sinilah kelebihan iman. Sebab itu, Islam menggalakkan anda memilih pasangan yang beriman sebagai kriteria utama pemilihan pasangan hidup agar mahligai bahagia kekal sentosa selamanya

Prosedur Perkahwinan

Perkara maha penting sebelum anda menyediakan persiapan perkahwinan ialah memastikan anda telah mendapat kelulusan untuk berkahwin daripada Jabatan Agama kawasan anda, contoh: JAWI, JAIS, MAIK dan sebagainya. Tapi sebelum anda membuat permohonan untuk berkahwin, ada beberapa prosedur yang mesti diikuti.

1. Kursus Perkahwinan - Ada dua jenis kursus perkahwinan iaitu kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Agama dan kursus oleh pihak swasta. Walaupun kedua-dua kursus ini hampir serupa tetapi anda dinasihatkan supaya mengambil kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Agama kerana ia mungkin memudahkan langkah seterusnya. Bakal pengantin yang mengambil kursus swasta mungkin ditemu duga oleh Jabatan Agama ketika membuat permohonan berkahwin. Anda dinasihatkan pergi berkursus bersama-sama pasangan anda agar segala maklumat dan ilmu dapat dimengerti bersama. Apabila selesai berkursus yang biasanya mengambil masa dua hari, anda akan menerima Sijil Tamat Kursus yang boleh diambil di Jabatan Agama. Sijil ini sah sampai bila-bila.

2. Setelah menerima sijil, anda bolehlah mengisi borang permohonan berkahwin yang boleh didapati dari pejabat Jabatan Agama daerah anda mengikut kad pengenalan. Isikan lengkap dan sertakan bersama surat akuan bujang yang dimateri dengan cap syarikat tempat anda bekerja. Kemudian dapatkan tandatangan jurunikah atau wakil jurunikah atau ketua kariah tempat anda. Bawa bersama dua orang saksi semasa anda mendapatkan tandatangannya.

3. Serahkan borang yang telah lengkap kepada bakal pengantin perempuan. Pengantin perempuan juga perlu mengisi borang permohonan bernikah. Mereka hendaklah memohon di Jabatan Agama mengikut alamat dalam kad pengenalan. Selain dilampirkan dengan surat akuan bujang dan borang permohonan pengantin lelaki, pengantin perempuan perlu membawa bersama wali dan dua orang saksi ke pejabat Jabatan Agama ketika menyerahkan borang yang lengkap diisi. Bagi pengantin yang akan bernikah di tempat lain, mereka perlu merujuk pula kepada Jabatan Agama tempat tersebut.

4. Setelah kelulusan didapati, sila tetapkan tarikh akad nikah dengan jurunikah.

5. Setelah akad nikah dijalankan, sila serahkan gambar untuk urusan memohon sijil dan kad nikah

KEPELBAGAIAN
Di dalam majlis-majlis perkahwinan sama ada dari segi adat pepatih mahupun adat temenggung, aktiviti-aktiviti seperti menggubah hantaran perkahwinan, mengandam, kompang, silat dilakukan sebelum dan semasa majlis perkahwinan dilaksanakan.
Di sini, kami menyediakan maklumat tentang perkara-perkara yang biasa dilaksanakan sebelum dan semasa majlis perkahwinan dijalankan.

0 comments:

Post a Comment


PELABURAN & JUAL BELI EMAS

PORTAL UNTUK PERNIAGAAN

DESIGN & PRINTING

Kursus Pra-Perkahwinan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls