Thursday, November 1, 2012

SRE#76 + INFO - Seni Pembuatan Kompang


SENI...kraf kompang antara hasil seni rimba.

KOMPANG adalah sejenis alat muzik yang menggunakan paluan untuk 
menghasilkan bunyi tersendiri.

Ia lebih dikenali sebagai rebana di sesetengah negeri. 
Malah, kompang adalah sebahagian hasil seni rimba manakala bahan utamanya ialah kayu halban kerana ia paling sesuai untuk membuat kompang.

Kayu halban bersifat ri­ngan, mempunyai ketahanan yang tinggi apabila dilarik dan tidak mudah pecah.

Kayu itu dapat mengeluarkan nada pantulan bunyi yang sekata dan nyaring.

Kemahiran yang tinggi diperlukan untuk menghasilkan kompang yang bermutu.

Teknik membuat kompang yang betul diperlukan supaya proses melarik dan ketebalannya dapat diukur dengan tepat.

Kayu halban yang dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki perlulah direndam di dalam air mengalir atau lumpur selama enam bulan hingga dua tahun.

Selepas itu, kayu yang matang akan berwarna kehitaman dan tidak mudah pecah apabila dilarik.

Kemudian, kayu itu ditebuk melalui kaedah larik, dibentuk melengkung dan tembus di kedua-dua belah bahagian.

Bahagian sebelah bawah diletak kulit lembu atau kambing yang diproses dan dipaku sekeliling permukaan.

Ukiran atau saiz kompang berbeza antara satu sama lain kerana gabungan bunyi yang berbeza itu melahirkan irama dan nada yang cukup nyaring serta dapat memainkan lagu dengan indah sekali.

Kompang biasanya dimain­kan secara berkumpulan antara 9 hingga 25 orang tertakluk kepada jenis-jenis kompang atau kumpulan.

Cara paluan juga menghasil­kan bunyi yang berbeza me­ngikut irama yang diinginkan dalam sesebuah lagu.

Biasanya lagu yang dimainkan adalah berasaskan kepada kitab berzanji atau berbahasa Arab.

SRE#75 + INFO - Penerus Tradisi Kompang

Penerus tradisi kompang

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD

Abdul Rahim Kasiman (kiri) dibantu pekerjanya, Mahsun Jumsah melakukan kerja-kerja menghasilkan kompang di bengkelnya di Kompleks Kraftangan Malaysia Cawangan Johor di Jalan Chenderasari, Johor Bahru.






JOHOR BAHRU 16 Julai - Sebut sahaja kompang, ia sering dikaitkan dengan seni tradisional yang menyeri dan memeriahkan majlis keramaian terutama majlis perkahwinan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, tanpa paluan kompang dalam majlis persandingan, terasa semacam tidak sah atau majlis itu dianggap seolah-olah sunyi dan sepi.

Selain itu, kompang juga sering menjadi penyeri majlis seperti acara perasmian, pertunjukan, kebudayaan dan acara keraian termasuk sambutan Maulidur Rasul.

Seorang usahawan yang bergiat khusus dalam pembuatan kompang, Abdul Rahim Kasiman, 65, telah mengusahakan seni membuat kompang secara serius, sejak 18 tahun lalu.

Berasal dari Ayer Hitam, Muar, Abdul Rahim, kini menjadi pembuat kompang terkenal bukan sahaja di selatan tanah air malah di seluruh Semenanjung.

Beliau menjadikan Kompleks Kraftangan Malaysia Cawangan Johor di Jalan Chenderasari berdekatan Jalan Datin Halimah sebagai pangkalan untuk mengusahakan pembuatan kompang secara tradisional bersama anaknya Mohd. Ismail Abdul Rahim, 32.

Abdul Rahim yang aktif bermain kompang sejak zaman kanak-kanak lagi berkata, dia telah lama menyedari tentang keperluan dan permintaan terhadap kompang.

Maka pada 1992 dengan sokongan kawan-kawan dan pihak yang mempunyai kaitan dengan industri kraf, beliau membuat keputusan untuk mengusahakan pembuatan kompang secara komersial.

Dengan menamakan 'Wandrisnor Kompang Baldu' sebagai syarikat untuk menggerakkan perusahaan itu, syarikat tersebut berupaya menghasilkan kira-kira 33 jenis alat muzik tradisional.

Katanya, antaranya jidur, gendang, maruas, kentung kempelingan, gong, gambus, duk, rebana, beduk, angklung dan kompang.

"Mengenai kompang, bahan-bahan seperti kulit kambing selain kulit kambing tempatan, kami turut mengimport dari Indonesia dan Pakistan.

"Jenis kulit kambing yang paling sesuai adalah kambing kampung dan dari jenis Jamnapari kerana kulitnya tidak berminyak berbanding biri-biri," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor di sini baru-baru ini.

Menurutnya, bahan-bahan lain seperti kayu-kayan dan rotan dicari di hutan-hutan berhampiran.

Abdul Rahim berkata, keunikan sentuhan kompang buatannya adalah kerana masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dan dibuat secara manual.

Katanya, di samping membuat kompang, pihaknya turut memberi perkhidmatan memperbaiki semua alat muzik tradisional.

"Sebagai contoh, macam orang jual alat sukan reket badminton, sudah pasti mereka akan menyediakan perkhidmatan untuk memperbaiki tali dan meluruskan batang reket berkenaan.

"Begitu juga dengan kompang, kami berkeupayaan dan berkemahiran memperbaiki bahagian paluan yang koyak atau retak, begitu juga dengan alat-alat permainan lain.

"Perkhidmatan selepas jualan merupakan sumber kekuatan kami, yang menyebabkan ramai pelanggan memberikan sokongan yang cukup baik hingga perusahaan ini terus berkembang sesuai dengan keperluan semasa," jelasnya.

Dari segi membuat kompang, Abdul Rahim memberitahu, bahagian yang paling cerewet dan perlu ketelitian 100 peratus adalah kerja-kerja kemasan.

"Semasa nak paku kulit kambing di balur yang dilapik kain baldu, kita kena buat dengan cermat dan hati-hati. Kalau silap cara kulit kambing dan balong boleh retak.

"Jadi paluan kompang yang baik terletak pada kerja-kerja kemasan, baru boleh menghasilkan paluan bunyi yang nyaring dan gemersik didengar," katanya.

Katanya, syarikatnya yang mempunyai enam pekerja kini berkebolehan menghasilkan tiga jenis kompang iaitu bersaiz 30 sentimeter, 33 sentimeter dan 35 sentimeter yang berharga antara RM75 hingga RM95 sebuah, di samping kompang kecil untuk hiasan dan cenderahati.

Mengenai pasaran Abdul Rahim menjelaskan, syarikatnya tidak punya masalah untuk memasarkannya, kerana pasaran utama bagi memenuhi keperluan di sekolah-sekolah.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus daripada produk kompang yang dihasilkan adalah bagi memenuhi permintaan persatuan kompang di sekolah-sekolah menengah dan rendah di daerah ini.

Selain itu, katanya, para pelanggannya terdiri daripada kumpulan-kumpulan seni di taman perumahan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti kumpulan nasyid.

Tambah Abdul Rahim, memenuhi pasaran global, beliau kerap mengikuti aktiviti promosi anjuran Kraftangan Malaysia seperti Hari Kraftangan Kebangsaan (HKK), yang diadakan di Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur di samping promosi di peringkat daerah atau negeri.

Sebagai penggiat seni kraf, beliau turut mahu berkongsi sama pengetahuan, pengalaman dan kemahiran membuat alat-alat seni tradisional dengan generasi muda dan mereka yang berminat boleh menghubungi 012-7961005 (Mohd. Ismail) atau 07-2381005 (Abdul Rahim).

Kredit - Utusan

SRE#74 + INFO - Kompang Dan Sejarah

Kompang


Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Ia tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing betina, namun mutakhir ini, kulitnya juga diperbuat dari kulit lembu, kerbau malah getah sintetik.

Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.

Terdapat dua bahagian kompang iaitu bahagian muka (ada kulit) dipanggil belulang. manakala, bahagian badan (kayu) dipanggil baluh. Kompang perlu diletakkan penegang atau dipanggil sedak iaitu sejenis rotan yang diletakkan antara belulang dan baluh, sedak ini deletakkan bertujuan untuk menegangkan bahagian belulang dan menyedapkan bunyi kompang apabila dipalu.

Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India Muslim, atau melalui Jawa pada abad ke-13 oleh pedagang Arab.

Kompang biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang dengan sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.

 Gambar belakang bahagian kompang. Kelihatan gelung plastik tebal yang digunakan bagi menala bunyi kompang dengan menyelit antara bingkai dan kulit penutup. Pada waktu dahulu, rotan digunakan.

Cara memalu kompang ialah dengan menepuk kulit kompang dengan bahagian jari-jari atau tapak tangan mengikut rentak. Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri dan upacara-upacara tradisi lain.

Bunyi yang berlainan dihasilkan dengan membezakan cara bukaan tapak tangan. Bunyi 'bum' di perolehi dengan tepukan di sisi kompang dan tapak tangan dikuncup/rapat. Bunyi 'pak' di perolehi dengan tepukan di tengah kompang dengan jari tangan yang terbuka.

Paluan kompang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu paluan tradisi dan paluan moden ataupun kreatif. Paluan tradisi adalah paluan di mana memukul kompang sambil menyayi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahsa Melayu klasik. Manakala paluan moden pula di mana paluan tersebut diselitkan dengan gerakan ataupun tarian. Di Sabah, pertandingan kompang sering diadakan untuk memartabatkan kembali kesenian Melayu yang telah hampir pupus ini.


Kompang Bengkalis Riau

Kompang Bengkalis Riau merupakan salah satu tradisi muzik yang menggunakan kompang sebagai medium penjanaan bunyi muzik. Kompang Bengkalis Riau dipercayai berasal dari Kampung Jawa,Muar, Johor, Malaysia. Ia telah berkembang sejak tahun 40-an lalu di bumi Bengkalis, Riau, Indonesia apabila seorang tokoh muzik yang bernama Pak Maun yang pulang dari Muar, Johor ke Bengkalis. Pak Maun lalu dikatakan mengajar alunan muzik kompang kepada abangnya iaitu Muhammad Ali. Apabila ilmu ini diperturunkan ke Muhammad Ali, Pak Maun telah berpindah ke daerah Bantan Tua, iaitu sebuah kampung dipanggil Resam. Bermula dari situlah permainan alat muzik Kompang Bengkalis Riau mula berkembang secara aktif.

Menurut suatu rancangan dokumentari berjudul "Musik Tradisi Riau" yang dijayakan oleh Dinas Kebudayaan Kesenian dan Pariwisata Provinsi Riau, temu bual telah diadakan bersama Encik Zailani Sulung, yakni salah seorang tokoh muzik kompang Riau merupakan anak murid kepada Pak Amir yang merupakan anak murid Pak Maun telah mempelajari kompang sejak tahun 1963.




PELABURAN & JUAL BELI EMAS

PORTAL UNTUK PERNIAGAAN

DESIGN & PRINTING

Kursus Pra-Perkahwinan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls