Tuesday, May 1, 2012

SRE#33 + INFO - P.Ramlee - Lagenda Sepanjang Zaman (Bah.1)

"Aku nak hidup sampai 1000 tahun lagi." Itulah katanya kepada salah seorang sahabatnya. Namun begitu apa yang telah   dikatakan itu secara gurauan, kini beransur-ansur berubah menjadi realiti.


Sesungguhnya tiada siapa yang tidak mengenali beliau. Pengenalan kepada seniman agung Allahyarham Tan Sri Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih. Beliau yang lebih dikenali dengan nama P.Ramlee bukan sahaja berbakat tetapi juga sebagai ikon seniman sepanjang zaman.

Siapa yang tidak tertawa apabila melihat jenakanya? Siapa yang tidak asyik apabila mendengar lagu-lagunya? Siapa yang tidak sedih apabila melihat lakonan menyayat hatinya? Siapa yang tidak terpana dengan filem arahannya?

Amat sukar untuk mencari insan yang boleh menandingi kehebatan beliau. Apatah lagi untuk mencari mereka yang boleh menggantikan P.Ramlee. Sehingga kini, tiada siapa yang mampu menggantikan tempat beliau sebagai seniman yang serba boleh. Biarpun dari seniman seangkatan dengannya atau pun dari generasi baru seniman yang lebih dikenali sebagai artis pada masa kini.

Tidak ramai yang mengetahui akan kisah dan juga penghidupan seniman agung ini. Rata-rata cuma mengetahui apakah filem yang dilakonkan dan diarahkannya ataupun lagu yang didendangkannya. Tetapi ramai yang tidak tahu akan perjuangannya yang penuh liku dan ranjau. Marilah kita sama-sama menghayatinya.


SEJARAH

Hasil perkongsian hidup Teuku Nyak Putih Teuku Karim dengan Che Mah Hussein sejak tahun 1925, P.Ramlee telah dilahirkan pada 22 Mac 1929 di pagi Hari Raya Aidilfitri. P.Ramlee telah dilahirkan di rumah neneknya di 40A, Counter Hall, Penang, Malaya.

P.Ramlee memulakan pendidikan awal beliau di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudiannya ke Francis Light School. Sebelum perang meletus, P.Ramlee sempat menyambung pelajarannya ke Penang Free School tetapi tidak sempat menamatkannya. Semasa Perang Dunia Ke 2, P.Ramlee telah mendapat pendidikan di Japanese Navy School.

Bermula dengan bermain ukele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

Pada tahun berikutnya, P.Ramlee bersama sahabatnya Mohd Yusop telah menubuhkan sebuah pancaragam bernama Pancharagam Mustika. Beliau telah mendapat undangan menyanyi di atas pentas di Agricultural Show di Bukit Mertajam. B.S Rahjans kebetulan berada di situ untuk mencari bakat baru. Setelah menyaksikan persembahan P.Ramlee, beliau menawarkan P.Ramlee untuk datang ke Singapura.

Dalam tahun itu juga P.Ramlee telah pergi ke sana. Filem pertama lakonan P.Ramlee adalah CHINTA pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan penyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakun di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955.

P.Ramlee buat pertama kalinya mendirikan rumah tangga dengan anak salah seorang seniman ketika itu. Isterinya yang dimaksudkan ialah Junaidah Daeng Haris. Melangsungkan perkahwinan mereka pada tahun 1953. Kemudian mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata. Iaitu, Mohd Nasir dan Arfan.

Setelah bercerai pada tahun 1954, P.Ramlee berkahwin dengan Norizan pada 6 Februari 1955. Namun begitu perkahwinan mereka tidak dapat bertahan lama. Mereka bercerai pada tahun 1961.

Pada tahun yang sama, P.Ramlee bertemu dengan Salmah Ismail atau pun lebih dikenali dengan nama Saloma. Kemudiannya mereka telah diijab kabulkan pada 21 November 1961. Saloma telah menemani P.Ramlee dalam suka mahupun duka sehingga ke akhir hayat P.Ramlee.

Sepanjang perkahwinan, P.Ramlee cuma mempunyai 2 orang anak. Iaitu Nasir dan Arfan. Oleh kerana itu, P.Ramlee telah pun mengambil beberapa orang anak angkat. Diantaranya ialah Betty, Zakiah @ Zazaloma, Sabaruddin @ Badin dan akhir sekali Dian.

Di dalam dunia perfileman tempatan, P.Ramlee telah berlakon dalam 66 filem. Bermula dengan filem pertama 'Chinta' sehinggalah filem terakhirnya 'Laksamana Do Re Mi'. Di dalam dunia seni suara pula, P.Ramlee telah mendendangkan 359 buah lagu.
P.Ramlee juga telah memenangi beberapa buah anugerah di Festival
Filem Asia di Hang Kong, Jakarta, Kuala Lumpur, Manila, Singapura, Taipe dan Tokyo. Tidak ketinggalan juga, Festival Filem Antarabangsa di Berlin.
Hayat P.Ramlee tidak lama. Beliau meninggal ketika berusia 44 tahun pada pagi Selasa 29 Mei 1973 kerana diserang sakit jantung. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang. Semoga pemergian beliau dirahmati Allah swt.

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya tidak ternilai, Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.

BERSAMBUNG BAHAGIAN 2................


0 comments:

Post a Comment


PELABURAN & JUAL BELI EMAS

PORTAL UNTUK PERNIAGAAN

DESIGN & PRINTING

Kursus Pra-Perkahwinan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls