Friday, September 14, 2012

SRE#70 + INFO - Deejay Wanita Terima Cabaran Kelab

Deejay wanita Melayu terima cabaran kelab

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI



Deejay Phinans dikenali di kalangan pengunjung tetap Werner's dan penggemar gabungan muziknya.

BERBEZA dengan pengacara lagu atau deejay radio yang lebih glamor, tidak ramai golongan wanita lebih-lebih lagi Melayu memilih menjadi deejay di kelab hiburan.

Tahukah anda, deejay kelab (seperti deejay hip hop) perlu mahir berinteraksi dan mengendalikan orang ramai pada masa sama mengadunkan rentak dan irama muzik dalam waktu sebenar?

Bagi yang benar-benar serius, memperhebatkan kesan perubahan gabungan pelbagai rentak berbeza adalah sasaran utama.

Selain memilih lagu yang serasi dengan kekunci muzikal tertentu, deejay juga perlu bijak mengaplikasi teknik-tenik berbeza seperti menyesuaikan rentak, phrasing danslip-cue.

Itu belum masuk aspek yang lebih teknikal dan rumit iaitu seni cutting (memotong lagu), beat juggling (jugel rentak), I, needle drops, phase shifting, back spin dan banyak lagi.

Memiliki Diploma Penyiaran Akademi TV3 dan Kejuruteraan Bunyi Institut Teknologi Audio Ocean, Farrah Shamila Abdul Rahman merupakan antara segelintir deejay wanita tempatan yang berkemahiran dalam scratching dan beat juggling.

Turut dikenali sebagai Deejay Phinans, tiga tahun lalu Farrah, 28, mengambil keputusan mengikuti kursus sambilan asas latihan deejay di akademi dinamik dan inovatif tempatan di ibu negara.

Asas teknik penting yang pelajari kemudiannya dimanfaatkan dan diperluaskan menerusi penyelidikan, rujukan dari Internet serta sampel muzik terbaik bagi menajamkan kemahiran menggabungkan melodi.

Antaranya mengambil kursus profesional Ableton, perisian secara online untuk menggubah dan menulis muzik, merakam, mengadun dan membuat persembahan live.

"Di Malaysia, hanya dua deejay lelaki memiliki sijil kelayakan profesional tersebut dan kini saya dalam usaha mengikuti kursus sama bagi menambah kemahiran," tambahnya.

Dalam pada itu Farrah mencuba nasib mengadakan persembahan di beberapa majlis kecil dan besar sebagai pendedahan awal dalam bidang tersebut.

"Bayangkan majlis yang besar tetapi tidak ada orang langsung! Tapi dari situ saya mendapat peluang membuat persembahan di Zouk, Twentyone, Frangipani selain memenuhi jemputan pelakon Irene Ang ke Singapura," ujarnya.

Pengalaman memutarkan lagu di Asian Heritage Row Kuala Lumpur tahun lalu banyak membuka peluang baru dalam bidang tersebut.

"Melaluinya juga, Werner's mengesan bakat dan potensi saya lalu mengambil saya bekerja di bawah rangkaian restoran miliknya," beritahu Farrah.

Sebelum ini, dia merupakan Eksekutif Jualan Iklan di sebuah majalah di waktu siang dan menjadi DJ sambilan di kelab sekitar Kuala Lumpur sehingga pukul 4 pagi beberapa hari seminggu.

Sehinggalah Oktober tahun lalu, Farrah dilantik sebagai Penyelaras Muzik dan deejay di Werner's On Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dia dipertanggung jawab mengendali dan memantau fungsi sistem bunyi termasuk memastikan setiap peralatan diselenggara setiap tiga bulan sekali.

"Namun terdapat sistem yang lebih rumit dan memerlukan pengendalian rapi pula diselenggara sebulan sekali," katanya yang turut memastikan senarai lagu diubah sebulan sekali agar suasana sentiasa segar.

Selain Werner's, Farrah turut diberi tugas menata bunyi di El-Cerdito Tapas dan Lavaca Steak House & Oyster Bar mengikut kesesuaian tema serta konsep setiap restoran tersebut.

"Hari-hari biasa bermula pukul 5 petang saya memutar lagu jazz, soul, latin, salsa dan funk.

"Waktu malam apabila mulai ramai pengunjung lazimnya irama salsa, latin, funk, soul dan R&B menjadi pilihan."

Dibantu pereka akustik, Farrah menyesuaikan bunyi berpandukan ciri fizikal restoran termasuk struktur kaca pada restoran agar getaran tidak melebihi garis panduan keselamatan.

"Meskipun muzik dan restoran selalunya kelihatan sepadan, kebanyakan sistemnya memberikan liputan bunyi yang tidak sekata," ujarnya.

Justeru, Werner's menggunakan sistem bunyi Bose yang bukan sahaja mewujudkan suasana tenang di dalam malah di luar restoran, foyer, tandas tetapi tidak terlalu bingit atau berdengung.

Tambah Farrah, melalui cara itu keperluan akustik dapat dipenuhi tanpa berkompromi terhadap kriteria hiasan dalaman restoran berkenaan.

Satu lagi manfaatnya adalah saiz kotak pembesar yang kecil atau sederhana manakala kabelnya muda dipasang berhampiran pembesar suara itu.

"Hasilnya cukup kemas, sistem bunyi tidak terlalu menonjol sebaliknya sepadan dengan kriteria reka bentuk dan menghasilkan kualiti akustik terbaik di seluruh premis.

"Setiap bahagian juga boleh dikawal secara berasingan untuk memastikan keselesaan pengunjung," jelasnya sambil memeriksa tahap kesesuaian audio di Werner sebelum memulakan tugas kira-kira pukul 5 petang.

Farrah bukan sahaja bertuah kerana menceburi kerjaya impiannya, mempunyai majikan mesra dan bertimbang rasa malah berpeluang menikmati hidangan lazat secara percuma sebelum masuk kerja setiap hari.

Satu lagi perkara, walaupun bergelar deejay kelab tetapi Farrah tidak menyentuh minuman beralkohol sekali pun pernah mendapat bayaran dalam bentuk itu tidak lama dulu.

"Saya harap pengunjung tidak salah anggap atau kecil hati. Bagi saya, memutarkan lagu sudah cukup untuk mengepam adrenalin dan membakar semangat untuk bekerja," tegasnya.

Farrah atau Deejay Phinans akan melancarkan album di Werner's on Changkat Mei ini dengan 100 cakera padat edisi terhad untuk penggemar adunan muzik kelab.


-  UTUSAN - 

0 comments:

Post a Comment


PELABURAN & JUAL BELI EMAS

PORTAL UNTUK PERNIAGAAN

DESIGN & PRINTING

Kursus Pra-Perkahwinan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls