Kebebasan dan Kebangkitan Irama
Nukilan - Hasmi bin Hashim
Musik, kugiran dan irama rock Malaysia sudah menjalar jauh sebelum Indonesia menikmati demokrasi dan kebebasan ekspressi pasca “Reformasi September 1998”, lebih sedekad lalu. Lihat, misalnya, bagaimana band-band rock negara tetangga kita ini bermunculan selepas demokrasi subur. Sementara Malaysia, menguncup, kesakitan.
Mahu tidak mahu, kita yang pernah menperlecehkan dan memandang jelek dengan dangdut Indonesia, harus akui dengan rendah hati, kita ‘tercabar’—meski tidak kalah total. Kesedaran adalah harapan yang pertama.
Demokrasi yang kita nikmati selepas kemerdekaan, semakin dan semakin sakit—terutamanya sejak lebih 30 tahun lalu. Kendati kini barangkali berada di dalam keadaan paling parah selepas pembentukan sebuah negara yang bernama Malaysia. Umumnya, kita tidak pasti betapa kita perlukan demokrasi. Betapa label lain daripada demokrasi menusuk sehingga kita keliru—termasuk label “ugama” dan “tradisi” yang sering digunakan untuk menutup demokrasi.
Jauh sebelum adanya Dewa, kita ada Search. Jauh sebelum adanya “Dealova”, kita ada “Isabella”! Sebelum ada Padi, Gigi, Sheila On Seven, Krispateh, Samson, Nidji… bla-bla-bla, kita sudah ada Sweet Charity, Wings, Iklim, Bumiputera Rockers (BPR), Spoon-spang-spong…
Sedekad lalu adalah masa di mana musik Malaysia laksana berada di hujung tanduk, sementara kegelisahan ini, tak terungkap termasuk di kalangan pengkarya musik itu sendiri. Mereka kekurangan tool untuk mengukur kemelut persekitaran yang memberi kesan buruk kepada ruang lingkup musik dan seni itu sendiri.
Dalam kata mudah, mereka cuai. Dalam kata lain, kalaupun tidak [apa yang boleh kita sebutkan sebagai] “bodoh”.
Di satu sudut, Reformasi 98 juga masih gagal menggarap bersama kekuatan yang baru merujuk arena musik. Musik, masih di pentas perdana yang tidak dilihat sebagai segmen yang perlu turut sama dibela; sama seperti pembelaan terhadap mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), mahupun semua akta-akta draconian lain yang jelas nyata mengongkong dan zalim.
Musik, atau seni keseluruhannya hanya terpandang sebagai ‘pekakas’. Baik di mata pemerintah, maupun di mata oposisi. Baik di mata Umno-BN, mahupun Pakatan Rakyat. Sementara seni dan musik adalah medium yang sewajarnya berperanan jauh daripada hanya menjadi pekakas politik-kekuasaan. Musik boleh jadi “alat jiwa”, “alat rohani”, “alat pemikiran”, “alat kebaikan”, “alat ketamadunan”.
Orang yang mahukan musik Malaysia lumpuh—gagal beraksi sepertimana hari ini—adalah orang yang ketagih kekuasaan, dan beranggapan musik itu adalah ‘buruk’. Kerana ia dipandang buruk, maka ia wajar dikambinghitamkan, bagi mereka—sebab, gagasan politik-kekuasaan sebegini sesungguh-sungguhnya lemah. Politikus Malaysia tak pernah betul melihat tujuan politik. Menjadi pemimpin bagi mereka adalah untuk menjadi maha raja, dan bukannya menjadi pemimpin.
Memang, ada beda antara “raja” dengan “pemimpin.” Perbedaan yang terang, antara yang memerintah dengan yang mengurusi kemanusiaan. Politik, bagi mereka, sekali lagi adalah urusan untuk ‘mengawal’, dan bukannya urusan untuk mengurus. Sang tipikal politikus begini, adalah manusia yang paling keliru dan hitam jantung hatinya.
Musik telah sekian lama menjadi manga fitnah maha cemburu…
Jauh sebelum Anwar Ibrahim difitnah sebegitu jelek, musik rock [misalnya] telah terlebih dahulu ‘difitnah’.
1992, tahun itu. 1 November tarikhnya.
Saya tak mungkin lupa bagaimana [mantan] Menteri Penerangan ketika itu dan seluruh jentera media Umno-BN mengecam, mencerca dan menfitnah pemusik rock hanya kerana rockers itu berambut panjang. Rambut jadi modal politik. Rambut jadi simbol kejahatan—sepertimana hari ini, kekuasaan politik menciptakan simbol-simbol kejahatan yang baru, untuk terus-terusan menutup, menutup, menutup kelemahan mereka mengurus negara ini.
Di kalangan yang seumur saya, ramai yang tidak lupa bagaimana Amy (penyanyi Search) dan Awie (penyanyi Wings) dipotong rambut mereka di dalam rancangan Hiburan Minggu Ini (HMI), malam minggu. Tersiar secara langsung dari stesen TV1 RTM ke seluruh negara. Bukankah ini satu bentuk penghinaan luar biasa? Satu perinjakan terhadap maruah manusia itu sendiri?
Kekuasaan telah memaksakan agar imej yang bertentangan dengan imej mereka, agar tunduk di bawah duli tapak kaki mereka. Saya waktu juga masih muda—16 tahun—untuk memahami helah politik-kekuasaan. Tetapi, saya waktu itu, dalam hati yang jauh, sudah merasakan sebuah ketidakadilan. Kebencian terhadap kekuasaan politik kongkongan Umno-BN, mula timbul, barangkali, dari sana.
Mungkin sahaja saya hanya temukan kepastian ini, dan saya temukan kebencian ini mulai September 1998—dengan beban suasana politik negara yang bukan kepalang. Kala fitnah jadi barang mainan. Kala melihat pemimpin yang dahulunya saya kagum, tetapi betapa hodohnya wajah mereka untuk kekal berkuasa. Kala saya melihat ramai yang menjadi diam dan takut—tak kurang di kalangan politik, ulama dan seniman itu sendiri.
Ya, kala fitnah menjadi barang mainan sahaja.
Memikirkan secara menyeluruh hubungan antara kebebasan dan hak, hubungan antara demokrasi dan kemurnian insan—sementara politikus sesungguhnya langsung tidak punya hak untuk menentukan paras rupa mana yang baik, mana yang “tidak” kepada warganegara. Kebaikan dan kejahatan itu wajar diserapkan di dalam sistem pendidikan, dan bukannya melalui propaganda murahan.
Mereka… orang-orang politik yang berkuasa itu, pernah menang; tapi mereka tidak akan selamanya menang. Saat pentakfiran terhadap musik (bahkan seni keseluruhannya) sudah tiba.
Orang politik yang gagal menghormati karamah manusia wajar kita tentang dan lawan. Tak kiralah dari parti manapun mereka.
Seraya antara lain karyawan dan kita wajar bermula dengan sebuah kesedaran mudah, bahawa bangsa manapun tidak akan pernah hancur kerana musik, tetapi sejarah mengajarkan bahawa sesebuah bangsa itu hancur kerana fitnah.
Kredit to - Hasmi bin Hashim / JalanTelawi.com
0 comments:
Post a Comment