Thursday, June 28, 2012

SRE#51 + INFO - Mendalami Sejarah "UNDERGROUND" Di Malaysia

Mendalami Sejarah Underground DiMalaysia ...

Dari konotasi perkataan/frasa 'underground' ini pasti terwujud pelbagai imejan di dalam minda. Malah jika diterjemah secara terus, ia menghasilkan maksud yang sangat mudah untuk difahami semua. Tetapi yang pastinya konotasi kata ini mungkin lebih bererti sekiranya diajukan kepada anak remaja moden kini. Secara tak langsung, terma underground ini dihubungkan terus dengan muzik. 'Lifestyle' anak muda yang punya jiwa protes terhadap arus konvensional muzik semasa. Daripada zaman pencetusan aliran underground hinggalah sekarang, banyak perubahan telah berlaku. Tidak salah juga jika mengatakan sejarah muzik underground di Malaysia ini mewujudkan impak yang signifikan kepada corak pemikiran, gaya hidup malahan identiti budaya anak muda moden Malaysia.

                                        Gambar koleksi peribadi SRE

Dipercayai pergerakan underground ini mula bertapak di Malaysia sekitar penghujung tahun 80’an. Selaras dengan perkembangan sosio-budaya anak muda dunia ketika itu yang dahagakan kebebasan dan tidak begitu menyukai ideologi golongan konservatif yang menghimpit. Maka tidak terkecuali juga anak muda moden di Malaysia sendiri. Muzik bagai menjadi salah satu bentuk wadah ekspresi jiwa yang melegakan. Jika disingkap kembali kepada senario hiburan tempatan pada waktu itu adalah tersangat menyedihkan kerana penguasaan golongan karyawan yang tidak punya sensiviti kepada progresi evolusi corak hidup alternatif, golongan muda/remaja. Sebahagian besar karya muzik mainstream yang diciptakan itu perlu berlandaskan kepada nilai komersil dan ini begitu menyesakkan citarasa golongan muda yang ingin sekali mencari kelainan. Sebut sahaja dari segi citarasa muzik, filem mahu pun budaya hidup, jelas golongan anak muda moden mahukan sesuatu yang mungkin tiada nilai komersil langsung tetapi kuat ciri estetikanya. Bertitik tolak dari kemunduran dunia muzik tempatan, maka kelahiran aliran corak hidup alternatif melalui dunia muzik dilihat sebagai satu cetusan budaya pop yang menjana pengikutnya sendiri. Pada waktu itu rasanya kemeriahan dan keakraban sesama pengikut 'undergrounders' terasa utuh kerana bersemangat tinggi untuk mewujudkan dunia muzikal mereka sendiri. Tiada sebarang sempadan yang menghalang mereka dari menikmati alunan protes dan kekerasan dari pemuzik bermahzabkan underground kerana ia turut terkandung bersama cetusan hati dan jiwa pemberontakan remaja pada waktu itu.



Gambar koleksi peribadi SRE



Turut sama lahir seiring dengan cetusan ini adalah kepelbagaian corak genre muzik tempatan. Daripada golongan pendengar muzik Melayu yang terkenal sinonim dengan irama leleh maka pencetusan genre muzik dari aliran kumuh Rock n’ Roll seperti Heavy, Speed dan Death Metal bagaikan mantra anak muda. Boleh dikatakan eksistensi gig-gig muzik underground muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan . Walaupun dijalankan secara kecil-kecilan di kelab malam atau pub-pub sekitar kota, namun kehadiran pengikutnya makin bertambah dan secara tak langsung gerakan ini boleh dikatakan mencapai status 'cult'. Kemasukan era 90’an, terasa benar-benar memberi impak yang besar. Jelas dari perubahan arah muzikal ketika itu turut sama mempengaruhi gaya hidup terkini dengan kelahiran generation-x yang membuahkan genre muzikal seperti 'alternative', 'grunge', 'indie', 'brit pop', 'punk', 'skin', 'hardcore' dan pelbagai lagi. Ia bagaikan virus yang pantas menular di kalangan remaja sekolah untuk turut sama mengikuti trend muzikal terbaru hasil import dunia hiburan antarabangsa. Kemeriahan begitu terasa, malah semakin banyak pula band-band gagasan anak muda Malaysia yang hebat wujud pada waktu itu seperti O.A.G, Spiral Kinetic Circus, Carburetor Dung, Butterfingers, Namesis, The Pilgrims, A.C.A.B dan banyak lagi. Sekitar pertengahan 90'an, industri muzik underground tempatan bagaikan mencapai kemuncaknya kerana semakin banyak penganjuran gig-gig dilakukan di luar daripada ibu kota. Pulau Pinang , Perak dan Johor Bharu turut sama mempunyai pengikut undergrounders tersendiri dan hampir setiap hujung minggu pasti ada sahaja gig-gig yang dianjurkan oleh kumpulan underground tempatan.


Apa yang membanggakan adalah kunjungan secara rasmi kumpulan–kumpulan muzik antarabangsa seperti Third Eye Blind dan Fugazi ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan bermain muzik di Fire Discotheque. Penganjurannya dilakukan secara serba serderhana tetapi tetap mendapat sambutan yang menggalakkan daripada khalayak undergrounders Malaysia. Tidak ketinggalan, pergerakan muzik underground Malaysia ini pernah mendapat liputan yang khusus daripada majalah US berpengaruh seperti Rolling Stone. Pada edisi 528, November 1996, wartawan David Wright-Neville menulis satu halaman penuh tentang cetusan kelahiran budaya underground. Boleh juga disemak pada halaman 39, beliau menamakan tajuk artikelnya sebagai "The Rebels of KL: Malaysian subcultures are smashing stereotypes with their own brands of punk rock and grunge." Jadi disini saya mengambil satu petikan komentar beliau berkenaan tajuk di atas.

"If there is any truth to the maxim that the more oppressive the dominant culture the more creative the subcultures, then tonight's gathering of punks, skin heads, dreads, and doyen of grunge speaks volumes about modern Malaysia. There are Malays, Chinese, Indians and a smattering of Eurasians, all gathered in an almost celebratory atmosphere which certainly speaks well of Malaysia's ability to manage its once explosive ethnic mix." Malangnya pandangan positif diatas tidak selalunya dikongsi bersama wartawan akhbar perdana Malaysia. Pernah tercetus satu kontroversi yang mengemparkan negara akibat daripada kewujudan budaya underground suatu waktu dahulu. Ia dijadikan satu isu sensasi negara kerana akhbar tersebut menampilkan foto seorang pemuda skin yang sedang asyik berpogo di salah satu gig di ibu kota. Isu laporannya benar-benar memberikan pandangan yang negatif kepada masyarakat dan secara tak langsung remaja Malaysia dituduh menghadapi krisis moral yang parah. Maka semenjak dari insiden itu juga semakin banyak gig-gig muzik underground diserbu polis atas arahan pihak atasan kerana khuatir dengan tahap keruntuhan moral anak muda. Pelbagai penyakit sosial turut dibangkitkan seraya dengan penglibatan ramai remaja yang gemar mengunjungi gig-gig ini.


Semenjak dari insiden itu, maka pergerakan golongan underground menjadi sedikit mundur. Penganjuran gig juga semakin berkurangan walaupun kadang kala setiap bulan pasti ada juga penganjurannya. Maka dari sini terkesan kemunduran dari segi pengelolaannya dan bertambah parah banyak pula band-band yang menemukan titik noktah berkarya mereka di persada underground. Tambah memeritkan adalah apabila insiden Black Metal yang disensasikan oleh pihak akhbar 2 tahun yang lalu ... Akibatnya senario muzik underground menghadapi kelesuan. Walaupun begitu, untuk mengatakan scene underground telah berkubur adalah satu pernyataan yang mengundang kecelakaan kerana ia masih bernyawa dan akan terus wujud selagi ada golongan generasi muda. Jika diperhatikan sekarang (setelah hilangnya badi insiden Black Metal), senario underground kembali mengelegak. Tetapi intensiti dan penyatuan kelompoknya tidak seperti pada zaman permulaannya. Kini lebih banyak gig yang dilakukan atas dasar berpuak-puak mengikut genre muzikal yang tersendiri. Tiada lagi ‘unity’ yang sering dilaung-laungkan dahulu. Kalau diukur pula dari segi prestasi dan penguasaan muzikal memanglah amat membanggakan. Begitu ramai pemuzik muda generasi pelapis memiliki penguasaan dan kefahaman yang baik di dalam soal teknikaliti mereka untuk bermuzik.


Dan isu terakhir yang menjadi kudis adalah soal pengurusan sesebuah show,gig atau konsert yang melibatkan nama-nama kumpulan underground. Sikap para penganjur kadang kala amatlah menyedihkan kerana yang dikejar adalah potensi komersil semata. Mereka bijak memanipulasi keadaan atau etika undergrounders bagi memenuhi keuntungan yang membuah kepada poket di samping tidak memandang serius kepada 'equipments' instrument muzik dan juga 'welfare' sesebuah band. Ada kalanya bayaran upah yang diberikan kepada band juga mengecewakan dan hanya cukup makan. Jika dilihat dari sudut kewangan memang bukanlah soal pokok, tetapi setiap dari anggota band-band perlulah diberi imbuhan yang seimbang dengan perkhidmatan mereka menghiburkan khalayak. Jika keadaan ini berterusan, munkin senario muzik underground tidak mungkin mengalami evolusi sikap dan perubahan yang boleh dibanggakan.


Sumber: Tokeikedai.net.my

Tuesday, June 26, 2012

SRE#50 + INFO - Kebebasan dan Kebangkitan Irama

Satu lagi artikel menarik yang boleh dikongsi bersama


Kebebasan dan Kebangkitan Irama


Keratan Akhbar Peristiwa Gunting Rambut Panjang

Keatan akhbar Dato' Mohamed Rahmat menggunting rambut Amy Search
Nukilan - Hasmi bin Hashim
Musik, kugiran dan irama rock Malaysia sudah menjalar jauh sebelum Indonesia menikmati demokrasi dan kebebasan ekspressi pasca “Reformasi September 1998”, lebih sedekad lalu. Lihat, misalnya, bagaimana band-band rock negara tetangga kita ini bermunculan selepas demokrasi subur. Sementara Malaysia, menguncup, kesakitan.
Mahu tidak mahu, kita yang pernah menperlecehkan dan memandang jelek dengan dangdut Indonesia, harus akui dengan rendah hati, kita ‘tercabar’—meski tidak kalah total. Kesedaran adalah harapan yang pertama.
Demokrasi yang kita nikmati selepas kemerdekaan, semakin dan semakin sakit—terutamanya sejak lebih 30 tahun lalu. Kendati kini barangkali berada di dalam keadaan paling parah selepas pembentukan sebuah negara yang bernama Malaysia. Umumnya, kita tidak pasti betapa kita perlukan demokrasi. Betapa label lain daripada demokrasi menusuk sehingga kita keliru—termasuk label “ugama” dan “tradisi” yang sering digunakan untuk menutup demokrasi.
Jauh sebelum adanya Dewa, kita ada Search. Jauh sebelum adanya “Dealova”, kita ada “Isabella”! Sebelum ada Padi, Gigi, Sheila On Seven, Krispateh, Samson, Nidji… bla-bla-bla, kita sudah ada Sweet Charity, Wings, Iklim, Bumiputera Rockers (BPR), Spoon-spang-spong…
Sedekad lalu adalah masa di mana musik Malaysia laksana berada di hujung tanduk, sementara kegelisahan ini, tak terungkap termasuk di kalangan pengkarya musik itu sendiri. Mereka kekurangan tool untuk mengukur kemelut persekitaran yang memberi kesan buruk kepada ruang lingkup musik dan seni itu sendiri.
Dalam kata mudah, mereka cuai. Dalam kata lain, kalaupun tidak [apa yang boleh kita sebutkan sebagai] “bodoh”.
Di satu sudut, Reformasi 98 juga masih gagal menggarap bersama kekuatan yang baru merujuk arena musik. Musik, masih di pentas perdana yang tidak dilihat sebagai segmen yang perlu turut sama dibela; sama seperti pembelaan terhadap mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), mahupun semua akta-akta draconian lain yang jelas nyata mengongkong dan zalim.
Musik, atau seni keseluruhannya hanya terpandang sebagai ‘pekakas’. Baik di mata pemerintah, maupun di mata oposisi. Baik di mata Umno-BN, mahupun Pakatan Rakyat. Sementara seni dan musik adalah medium yang sewajarnya berperanan jauh daripada hanya menjadi pekakas politik-kekuasaan. Musik boleh jadi “alat jiwa”, “alat rohani”, “alat pemikiran”, “alat kebaikan”, “alat ketamadunan”.
Orang yang mahukan musik Malaysia lumpuh—gagal beraksi sepertimana hari ini—adalah orang yang ketagih kekuasaan, dan beranggapan musik itu adalah ‘buruk’. Kerana ia dipandang buruk, maka ia wajar dikambinghitamkan, bagi mereka—sebab, gagasan politik-kekuasaan sebegini sesungguh-sungguhnya lemah. Politikus Malaysia tak pernah betul melihat tujuan politik. Menjadi pemimpin bagi mereka adalah untuk menjadi maha raja, dan bukannya menjadi pemimpin.
Memang, ada beda antara “raja” dengan “pemimpin.” Perbedaan yang terang, antara yang memerintah dengan yang mengurusi kemanusiaan. Politik, bagi mereka, sekali lagi adalah urusan untuk ‘mengawal’, dan bukannya urusan untuk mengurus. Sang tipikal politikus begini, adalah manusia yang paling keliru dan hitam jantung hatinya.
Musik telah sekian lama menjadi manga fitnah maha cemburu…
Jauh sebelum Anwar Ibrahim difitnah sebegitu jelek, musik rock [misalnya] telah terlebih dahulu ‘difitnah’.
1992, tahun itu. 1 November tarikhnya.
Saya tak mungkin lupa bagaimana [mantan] Menteri Penerangan ketika itu dan seluruh jentera media Umno-BN mengecam, mencerca dan menfitnah pemusik rock hanya kerana rockers itu berambut panjang. Rambut jadi modal politik. Rambut jadi simbol kejahatan—sepertimana hari ini, kekuasaan politik menciptakan simbol-simbol kejahatan yang baru, untuk terus-terusan menutup, menutup, menutup kelemahan mereka mengurus negara ini.
Di kalangan yang seumur saya, ramai yang tidak lupa bagaimana Amy (penyanyi Search) dan Awie (penyanyi Wings) dipotong rambut mereka di dalam rancangan Hiburan Minggu Ini (HMI), malam minggu. Tersiar secara langsung dari stesen TV1 RTM ke seluruh negara. Bukankah ini satu bentuk penghinaan luar biasa? Satu perinjakan terhadap maruah manusia itu sendiri?
Kekuasaan telah memaksakan agar imej yang bertentangan dengan imej mereka, agar tunduk di bawah duli tapak kaki mereka. Saya waktu juga masih muda—16 tahun—untuk memahami helah politik-kekuasaan. Tetapi, saya waktu itu, dalam hati yang jauh, sudah merasakan sebuah ketidakadilan. Kebencian terhadap kekuasaan politik kongkongan Umno-BN, mula timbul, barangkali, dari sana.
Mungkin sahaja saya hanya temukan kepastian ini, dan saya temukan kebencian ini mulai September 1998—dengan beban suasana politik negara yang bukan kepalang. Kala fitnah jadi barang mainan. Kala melihat pemimpin yang dahulunya saya kagum, tetapi betapa hodohnya wajah mereka untuk kekal berkuasa. Kala saya melihat ramai yang menjadi diam dan takut—tak kurang di kalangan politik, ulama dan seniman itu sendiri.
Ya, kala fitnah menjadi barang mainan sahaja.
Memikirkan secara menyeluruh hubungan antara kebebasan dan hak, hubungan antara demokrasi dan kemurnian insan—sementara politikus sesungguhnya langsung tidak punya hak untuk menentukan paras rupa mana yang baik, mana yang “tidak” kepada warganegara. Kebaikan dan kejahatan itu wajar diserapkan di dalam sistem pendidikan, dan bukannya melalui propaganda murahan.
Mereka… orang-orang politik yang berkuasa itu, pernah menang; tapi mereka tidak akan selamanya menang. Saat pentakfiran terhadap musik (bahkan seni keseluruhannya) sudah tiba.
Orang politik yang gagal menghormati karamah manusia wajar kita tentang dan lawan. Tak kiralah dari parti manapun mereka.
Seraya antara lain karyawan dan kita wajar bermula dengan sebuah kesedaran mudah, bahawa bangsa manapun tidak akan pernah hancur kerana musik, tetapi sejarah mengajarkan bahawa sesebuah bangsa itu hancur kerana fitnah.
Kredit to - Hasmi bin Hashim / JalanTelawi.com

SRE#50 + INFO - Hidup Mati Jazz (Kolumnis Zubir Muhamad)







Salam sejahtera semua. Tengah ber blogwalking hari ni SRE terjumpa satu artikel menarik nukilan kolumnis Zubin Muhamad dari The Malaysian Insider bertajuk "HIDUP MATI JAZZ". Ianya menarik minat saya untuk berkongsi hasil nukilan beliau di sini. Enjoy!

Hidup mati Jazz



22 MEI — Aku mungkin budak kampung yang datang dari ceruk utara semenanjung, tapi aku suka jazz, boleh? Janganlah marah, aku bukannya tak sedar diri atau apa, aku memang sukakan irama itu. Ya, memang aku suka irama lain juga, keroncong, tradisional, muzik dunia dan pop. Tapi jazz mungkin berada di atas sekali.

Aku sering mencari tempat jazz bergema bila berada di kota-kota Bangkok, Jakarta, Glasgow, London, Paris, Seoul, Tokyo hinggalah ke Los Angeles dan New York. Kalau ada waktu, aku pasti berada di situ, mendengar dan menghidu suasana jazz secara langsung.

Dulu di KL (Kuala Lumpur), sekitar awal tahun 1980an pun ada beberapa tempat permainan jazz, seperti All That Jazz di SS3 Petaling Jaya dan di Damansara Utama, dan kemudiannya berpindah ke tempat-tempat lain.

Kemudian ada pula festival-festival jazz yang muncul sana sini, tapi kemudiannya tenggelam. Pernah Jazz Festival di Kiara Green, Mont Kiara Jazz Festival, dan Penang Jazz Festival, tapi beritanya tak sekencang lagi.

Sekarang ini katanya sudah ada beberapa tempat jazz baru di KL, yang adanya di No Black Tie di Bukit Ceylon serta di Alexis Great Eastern Mall Ampang. Pernahlah beberapa kali aku ke sana menikmati irama yang boleh membuat bibir berdetap.

Irama ini juga sudah masuk ke Dewan Filharmonik Petronas di Twin Towers KLCC, tempat canggih yang dipenuhi pemain muzik klasik yang dibayar berpuluh ribu ringgit. Agaknya anak tempatan dibayar tak sebanyak itu?

Aku hanya mula mendengar irama jazz ini bila bercampur dengan budak-budak KL di ITM(Institut Teknologi Mara), Shah Alam, semasa berumur lapan belas tahun. Aku masuk kumpulan ini yang ada sepuluh budak lelaki dan sepuluh budak perempuan, rata-ratanya pelajar-pelajar perakaunan, pengajian perniagaan, pengangkutan, insurance, kejuruteraan, statistik, sains komputer dan undang-undang di awal 1980an.

Kami semua suka bersukan tennis, ragbi, berenang dan mendengar jazz. Bunyi macam pelik jugak, macam tak percaya pulak, tapi itulah hakikatnya. Di antara pemuzik yang kami dengar pada waktu itu termasuklah Shakatak, Grover Washington, Sadao Watanabe, Earl Klugh, Spiro Gyra, George Benson dan banyak lagi.

Beberapa waktu kemudiannya aku diperkenalkan kepada lagu-lagu jazz Indonesia yang dibawa masuk melalui Pulau Penang, seperti Vina Panduwinata, Utha Likumahua, Harvey Malaiholo, Karimata, Faris, Indra Lesmana, Januari Christie, Chrisye dan lain-lain.

Memanglah jazz dipelopori oleh kaum Afrika Amerika di Selatan Amerika Syarikat pada permulaan abad ke dua puluh, yang menggabungkan tradisi muzik Afrika dan Eropah. Pengaruh Afrika Barat kuat sekali dalam jazz terutamanya dengan penggunaan nota biru, improvisasi, kepelbagaian rentak, sinkopasi serta nota swing. Manakala nama jazz itu sendiri yang dulunya disebut jass bermula do pantai barat Amerika dengan nada slang yang merujuk kepada muzik di Chicago pada tahun sekitar 1915.

Memanglah muzik ini sudah banyak berpecah berkembang kepada pelbagai subgenre, New Orleans Dixieland sekitar tahun 1910, stail big band swing sekitar 1930-1940an, bebop sekitar pertengahan 1940an, pelbagai jazz latin termasuk jazz Brazil, afro-cuba, free jazz dari tahun 1950an dan 1960an, jazz fusion from tahun 1970an, acid jazz dari tahun 1980an, yang juga termasuk funk dan pengaruh hip-hop, serta Nujazz dalam tahun 1990an.

Pendek kata muzik ini telah menjelajah ke suluruh dunia dan mengambil ciri-ciri muzik lokal, nasional serta regional. Estetikanya telah diubahsuai, samada diadaptasi dan diadopsi mengikut ruang persekitarannya yang kemudiannya memberikan nafas yang berbeza, tahun demi tahun, penyanyi demi penyanyi, dan seterusnya memberikan cirri khasnya yang tersendiri.

Bentuk-bentuk muzik ini juga lahir di Malaysia. Di tahun 1980an juga kita sudah ada penyanyi Sheila Majid yang terkenal sebagi Ratu Jazz, kemudian pula lahir Fairuz Hussein sebagai Ratu R&B (Rhythm and Blues) dan Ning Baizura di tahun 1990an sebagai Ratu Soul. Mungkin ini terjadi kerana kita sudah mulai didatangi pemuzik-pemuzik dan penggubah lagu muda yang pulang dari pengajian di Berkeley School of Music di Boston.

Tetapi jika dilihat balik, kita sebenarnya sudah ada sejarah pemuzik-pemuzik dan penggubah-penggubah lagu jazz seperti P. Pamlee sendiri, walaupun beliau lebih bersifat versatile, Alfonso Soliano, Jimmy Boyle dan lain-lain lagi di tahun 1950an dan 1960an.

Mungkin RTM juga boleh dikatakan sebagai salah satu pemangkin irama jenis ini pada suatu waktu. Kita juga ada beberapa nama penyanyi yang mendendangkan irama jazz pada satu waktu seperti Zain Azman, Julie Soediro, Ahmad Daud, Lena, Alina Rahman, Fazidah Joned, Kartina Dahari.

Pada tahun lepas pula timbul konsep konsert muzik jazz yang dibawakan oleh “Malam Nada Biru”, diterajui oleh name besar seperti Roslan Aziz dan Fizar Harun dan lainnya di Actors Studio Bukit Bintang. Yang menariknya dari Malam Nada Biru gemerlap pula nama-nama baru seperti Atilia Harun dan Najwa Muhaidin yang kini melahirkan sebuah album Inggeris yang menarik perhatian ramai.

Apakah nada biru ini akan muncul semula meraih kegemilangannya dengan nada yang lebih rancak dan segar dalam bahasa yang berbeza? Atau terus bergolak dengan nada-nada indigenus yang lama terpendam dalam jiwa kita? Apa yang penting, aku terus memasang telinga pada irama jazz ini, yang tidak lagi menjadi nada kaum tertindas seperti di Amerika.

Kredit to Zubin Muhamad / The Malaysian Insiders

Monday, June 25, 2012

SRE#49 + INFO - Fungsi & Prinsip Asas Komponen Pembesar Suara (Loud Speaker) & Mikrofon (Microphone)

Berikut adalah info asas kepada fungsi dan prinsip Pembesar Suara (Loud Speaker) dan Mikrofon (Microphone) yang kita gunakan dalam kehidupan seharian.
Pembesar Suara (Loud Speaker)

                           

1. Fungsi pembesar suara ialah menukarkan gelombang elektrik kepada
gelombang bunyi.

2. Pembesar suara pada peralatan elektrik adalah seperti radio, televisyen,
dan lain - lain.

3. Nilai suara yang dilabel dengan nilai mpedans (ohm), nilai kuasa (watt),dan diameter kon.

4. Bahagian pembesar suara terdiri daripada magnet kekal, teras besi,
gegelung, kerangka dan tamatan.

5. Prinsip kendlalian pernbesar suara adalah seperti yang berikut:

(a) gelombang elektrik masuk melalui tamatan ke gegeIung.
(b) gegelung akan menghasilkan medan magnet dan bertindak terhadap
medan magnet kekal.
(c) hasil tindak balas ini akan menyebabkan diafragma bergetar dan
menghasilkan gelombang hunyi.
(d) sambungan tamatan yang baik dapat menghasilkan bunyi yang baik dan
jelas.

Mikrofon (Microphone)

                                           


1. Fungsi mikrofon adalah untuk rnengesan gelombang bunyi dan
menukarkannya kepada gelombang elektrik.

2. Gelombang elektrik yang terhasil ditinggikan oleh amplifier dan ditukarkan
kepada gelombang bunyi oleh pembesar suara.

3. Binaan mikrofon terdiri daripada tranduser, litar elektronik dan penghadang
angin.

4. Mikrofon biasanya digunakan dalam studio rakaman, konsert, radio, sistem siaraya, dan lain-lain.

5. Terdapat pelbagai jenis mikrofon iaitu

(a) jenis gegelung bergerak (dinamik)
(b) jenis pemuat
(c) jenis karbon


a) Mikrofon jenis gegelung bergerak (dinamik). 

                               

(a) gegelung dipasang mengelilingi magnet dengan tamatannya
disambungkan kepada litar elektronik.
(b) apabila gelombang bunyi dikesan, gegelung akan bergetar dan
menghasil kan aruhan daya elektromagnet.
(c) semakin besar gelombang bunyi, semakin cepat gegelung hergetar dan
semakin kuat gelombang elektrik yang dihasilkan.

b) Mikrofon jenis pemuat 

                                   

a) Mempunyai dua plat elektrod yang dihulnungkan kepad litar elektronik. iaitu elektrod tetap dan elektrod bergerak.
b) Fungsi kedua-dua plat ialah sebagai pemuat dan tranduser.
c) Elektrod bergerak akan bergetar apabila menernna gelombang bunyi 
d) Getaran yang terhasil menye bab kan niIai tranduser meningkat dan menukarkan gelombang bunyi kepada gelombang eIektrik.
c) Mikrofon jenis karbon 

                                 
             
a) Mikrofon jenis ini terdiri dari pada dua plat diagfragma yang disambungkan kepada elektrod.
b) Elektrod dibina dalam bekas yang mengandungi manik karbon.
c) Arus elektrik akan mengalir melaiui elektrod dan manik karhon.
d) Elektrod akan hergerak dan manik karbon akan bergetar apabiia
menerima gelombang bunyi.
e) Arus yang rnengalir melaluinya akan berubah.


Tuesday, June 19, 2012

SRE#48 + EVENT + INFO - Walkabout YBM KPDNKK Ke Bengkel ATOM (4Tuned Auto, Kajang) - 18 Jun 2012

PA System
Tarikh - 18 Jun 2012
Acara - Walkabout YBM KPDNKK Ke Bengkel ATOM
Lokasi - 4Tuned Auto, 105, Blok A Jalan Tenaga 18, Taman Tenaga, 43000   

            Kajang Selangor
            
Program Walkabout YBM ke bengkel 4Tuned Auto Kajang. Majlis telah dirasmikan oleh YB Menteri KPDNKK Datok Ismail Sabri Yaakob pada jam 3 petang. Majlis disusuli dengan sesi temuramah wartawan bersama YBM.

Antara khidmat yang ditawar kan di 4TUNED AUTO: -
- Car Service & Battery
- Engine Overhaul & Breakfix
- Perfomance Parts
- Engine Balance
- Port & Polish
- Gear Box
- Turbo Modify
- Absorber etc
- Tuning
Contact - 0122284829 / 0193410177 (ENAL)
---------------------------------------------------------------------------------------------------


Info mengenai program (Permodenan Bengkel Automotif) ATOM :-

ATOM adalah Inisiatif untuk memodenkan dan mentransformasikan sektor perkhidmatan dan pembaikan automotif yang bertaburan/tidak tersusun.

Pendaftaran kenderaan semakin meningkat dari tahun ke tahun seiring dengan peningkatan populasi, tenaga kerja dan pembangunan bandar. Peluang-peluang ini boleh diterokai oleh sektor perkhidmatan automotif dan pembaikan automotif yang kini memberikan perkhidmatan untuk 1.8 juta kenderaan berdaftar. Dengan menaik taraf standard sektor, pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik manakala juruteknik boleh memperoleh pendapatan yang lebih tinggi

Pelaksanaan
Untuk menggalakkan integriti dalam sektor perkhidmatan dan pembaikan automotif melalui konsep 4M (Man, Method, Machine, Material).
Konsep 4M sebagai asas untuk menilai sesebuah bengkel

– Modal Insan (Man)
Kemahiran tenaga kerja akan dikesan melalui tahap latihan yang pernah dihadiri

– Kaedah (Method)
Keperluan Manual Prosedur Kerja dan Standard Operasi dan asas-asas pengurusan bengkel dan kepakaran teknikal sebagai rujukan.

– Mesin (Machine)
Jenis mesin dan perkakasan serta tahap teknologi yang digunakan dalam bengkel

– Kompenen bahan/barangan (Material)

Komponen kenderaan tulen dan standard kualiti pembaikan alatan ganti untuk pelanggan

Pada tahun 2011, sebanyak 55 buah bengkel kenderaan ringan telah berjaya dimodenkan. Kerajaan menyasarkan sebanyak 50 buah bengkel kenderaan ringan lagi akan dimodenkan pada tahun 2012.

Sunday, June 10, 2012

SRE#47 + EVENT - Majlis Perkahwinan - 10 Jun 2012

PA System / DJ
Tarikh - 10 Jun 2012
Acara - Majlis Perkahwinan
Lokasi - Taman Setia, Gombak Selangor
Pengantin - Tengku Nur Nikman & Siti Fathiyah

SRE mengucap kan tahniah kepada Tengku Nur Nikman & Siti Fathiyah. Selamat pengantin baru, moga kekal ke anak cucu.



SRE#46 - EVENT - #TJFutsal2 - Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

PA System 
Tarikh - 9 Jun 2012
Acara - Kejohanan #TJFutsal2
Lokasi - Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil



Kejohanan futsal yang dikenali sebagai #TJFutsal2 yang berlangsung di Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil ini mendapat sambutan yang hangat. Disertai lebih dari 20 pasukan yang bersaing sengit juga untuk menjuarai kejohanan kali ini. Selain dari semangat kesukanan, event pada kali ini juga dapat menyatukan ahli-ahli yang aktif dalam Twitter. @SerasiRitma juga dimaklum kan yang event futsal kali ini adalah yang paling berjaya. Tahniah semua yang terlibat!!










Pertandingan bola keranjang '3 on 3' iaitu #YbsCanJump juga diadakan dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu serta Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan menunjukkan bakat masing-masing dalam sukan tersebut






picture - @AdAlwi, @RuffeyAhmad, @Fred_Aman

Tuesday, June 5, 2012

SRE#45 - INFO - #TwtUpKami, 15 Selebriti Popular Sertai Acara


#TwtUpKami

KUALA LUMPUR: Lebih daripada 15 selebriti bakal memeriahkan program #TwtUpKami yang akan berlangsung pada 9 Jun ini di perkarangan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil.
Acara yang dianjurkan oleh Twitter Jaya, komuniti Twitter di negara ini, membawakan selebriti seperti Bunkface, Estranged, Noh Hujan, OAG, Flop Poppy dan Rosevelt.
Menurut wakil penganjurnya, Fadzmel Fadzil, tujuan pihaknya mengajak para selebriti menyertai program tersebut adalah untuk mengumpulkan peminat-peminat mereka serta masyarakat umum yang aktif dalam penggunaan Twitter.
"Pihak kami mengambil inisiatif menganjurkan #TwtUpKami bagi menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini dan pada masa sama mereka dapat bertemu dengan artis kegemaran masing-masing.
Noh (Hujan)
"Malah artis-artis yang hadir ini akan membuat persembahan dan lebih menarik lagi, kami turut membawakan kumpulan-kumpulan 'underground' yang semestinya memiliki golongan peminat yang tersendiri," katanya.
Tambah Fadzmel, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan bermula dari pukul 9 pagi hingga 7 malam dan antaranya melibatkan acara seperti pertandingan sukan futsal yang dipanggil sebagai #TJFutsal2.
"Lebih menarik lagi acara tersebut akan turut menyaksikan penampilan istimewa daripada skuad futsal kebangsaan.
"Pertandingan bola keranjang iaitu #YbsCanJump juga dianjurkan dengan menampilkan kemunculan istimewa daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Gan Ping Sieu serta Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan yang akan menunjukkan bakat mereka dalam sukan tersebut," tambah Fadzmel lagi.
Bunkface
Dalam pada itu, beberapa gerai menjual pelbagai barangan dan pakaian akan turut dibuka seperti Sooq Bazar serta Glam Bazar.
Mengenai #TwtUpKami, nama tersebut diambil daripada penggunaan #TwitUp yang bermaksud 'Twitter Meet Up' manakala 'Kami' pula membawa simbol sebuah perhimpunan yang melibatkan pengguna-pengguna Twitter.
"Di Malaysia sendiri, budaya #TwtUp tidak asing di kalangan masyarakat negara ini malah ia sangat popular terutama daripada kalangan generasi muda yang sering kali melibatkan diri dalam penganjuran program seumpama ini," ujarnya.
Untuk itu, orang ramai dijemput hadir ke #TwtUpKami dan maklumat lanjut boleh di dapati menerusi laman Twitter @TwtUpKami selain mendapat informasi daripada stesen radio FlyFM, HotFM dan OneFM.


Kredit - MStar 

Friday, June 1, 2012

SRE#44 + INFO - KONSERT THE LEGENDARY CONCERT 2012


4 Lagenda terkenal tanahair kini telah bergabung bagi menjayakan konsert The Legendary Concert 2012- Dulu, Kini dan Selamanya anjuran Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn Bhd.

Nama artis terlibat terdiri daripada Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Amy Search dan Jamal Abdillah. Pemilihan artis ini berdasarkan pada keupayaan, populariti dan komitment kepada masyarakat sejak bergelar anak seni sehingga namanya terpahat dimulut peminat sehingga kini.

Peminat-peminat yang ingin melihat konsert ini bolehlah mendapatkan tiket-tiket yang sudah mula dijual pada harga RM100, RM200, RM300 dan RM600. Untuk maklumat lanjut tentang konsert ini, sila layari www.legendary.my

Berikut adalah Jadual Konsert Jelajah The Legendary Concert 2012 :

Kota Kinabalu, Sabah (5 Mei 2012)
Pulau Pinang (19 Mei 2012)
Johor Bahru (26 Mei 2012)
Kuching (23 Jun 2012)
Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (30 Jun 2012)


Lebih menarik, konsert ini bakal menjelajah ke lima lokasi berbaza yang dimulakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Mei ini diikuti Pulau Pinang (19 Mei), Johor Bahru (26 Mei), Kuching (23 Jun) dan sebagai penutup, empat penyanyi ini akan menggamatkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun depan.

Menurut sumber G.A.M terima, hampir kesemua tiket VIP yang berharga RM600 habis dijual sejak sebulan lalu. Ini merupakan petanda positif bahawa konsert ini menjanjikan persembahan terbaik pada hari tersebut.


PELABURAN & JUAL BELI EMAS

PORTAL UNTUK PERNIAGAAN

DESIGN & PRINTING

Kursus Pra-Perkahwinan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls